Kenapa saya perlu tulis Wasiat? - Nota Kewangan Islam

Info, tips dan khidmat nasihat Takaful, Harta Pusaka, Faraid & Kewangan Islam.


SESIAPA SAHAJA, DI MANA-MANA, PADA BILA-BILA MASA...

Kenapa saya perlu tulis Wasiat?

Wasiat instrumen perancangan harta pusaka

Orang ramai amat digalakkan menulis wasiat. Persoalan yang selalu diajukan ialah kenapa?

1) Jika saya belum berkahwin, saya perlu menulis wasiat untuk melantik pentadbir (Wasi) harta pusaka saya supaya saya tidak membebankan ibu bapa dan saudara terdekat saya. Saya juga boleh membuat sedekah jariah daripada sebahagian harta pusaka saya.

2) Jika saya telah berkahwin, tetapi belum mempunyai cahayamata, saya perlu menulis wasiat untuk mengelakkan konflik diantara pasangan saya dengan ibu bapa dan ahli keluarga saya yang lain. Proses pentadbiran juga lebih mudah. Di samping itu, saya dapat memastikan semua waris mendapat hak mereka dengan cara yang betul.

3) Jika saya telah berkahwin dan mempunyai anak, saya perlu menulis wasiat untuk melantik pentadbir (Wasi) dan penjaga untuk anak saya yang masih di bawah umur 18 tahun. Saya boleh mengarahkan penjaga yang bertanggungjawab untuk menggunakan harta pusaka saya yang diwarisi oleh anak dengan sebaik mungkin dan mengelakkan penyelewengan.

4) Jika saya berpoligami, saya perlu menulis wasiat untuk mengelakkan konflik diantara kedua-dua keluarga saya dan melantik pentadbir (Wasi) yang boleh dipercayai untuk mentadbir harta pusaka saya agar hak semua waris saya iaitu isteri-isteri dan anak-anak saya dapat diberikan dengan adil.

5) Jika saya mempunyai anak angkat, saya perlu menulis wasiat untuk memberikan sebahagian daripada harta pusaka saya sepertimana yang dibenarkan Syara’ iaitu tidak melebihi 1/3. Dengan cara ini, kebajikan dan sara hidup anak angkat saya terutamanya mereka yang dibawah umur akan terjaga dan tidak terbiar sahaja.

6) Jika saya tidak mempunyai anak lelaki, saya perlu menulis wasiat untuk melantik pentadbir (Wasi) dan mengelakkan konflik di kalangan ahli keluarga saya iaitu pasangan dan anak perempuan saya dengan ahli keluarga yang lain seperti ibu bapa dan saudara kandung saya. Saya juga boleh memastikan hak mereka terjaga dan diuruskan dengan adil.

7) Jika saya berhutang, saya perlu menulis wasiat untuk memastikan hutang saya dijelaskan dengan menggunakan harta pusaka saya terlebih dahulu sebelum diagihkan.

8) Jika saya mempunyai perniagaan, saya perlu menulis wasiat untuk memberi arahan dan panduan kepada waris dan juga rakan kongsi saya berkenaan pengurusan saham dan pemilikan lain dalam perniagaan saya. Dengan cara ini juga dapat mengelakkan penyelewengan oleh rakan kongsi dan memastikan hak waris saya kepada pegangan di dalam perniagaan adalah terpelihara.

9) Jika saya mempunyai banyak harta, saya perlu menulis wasiat untuk memudahkan agihan harta pusaka kepada waris dengan memberi panduan yang baik selagimana tidak bercanggah dengan Syari’ah. Melalui wasiat juga saya boleh menyenaraikan semua aset dan hutang dan menjelaskan kepada waris bagaimana cara hendak menguruskannya.

10) Jika saya seorang muallaf, saya perlu menulis wasiat untuk memberikan sebahagian daripada harta pusaka saya kepada ahli keluarga yang bukan Islam seperti ibu bapa kandung dan saudara kandung saya. Islam membenarkan Wasiat kepada bukan Islam (iaitu bukan waris) untuk menerima tidak melebihi 1/3 harta pusaka. Islam tidak menghalang hubungan muallaf dengan ahli keluarga malahan menggalakkan berbuat baik kepada kedua ibu bapa.

Inilah sebab utama penulisan wasiat. Orang yang menulis wasiat ialah orang yang bijak kerana mengingati mati. Apabila kita mengingati mati, maka kita akan membuat perancangan supaya kehidupan kita di dunia ini tidak sia-sia dan apabila mati, tidak pula memberikan beban kepada waris yang masih hidup. Di samping itu juga, kita boleh membuat pelaburan akhirat melalui sedekah jariah dan ini menjadi pencen kubur, kehidupan di akhirat kelak.
Back To Top