Hibah - Nota Kewangan Islam

Info, tips dan khidmat nasihat Takaful, Harta Pusaka, Faraid & Kewangan Islam.


SESIAPA SAHAJA, DI MANA-MANA, PADA BILA-BILA MASA...

Hibah

hibah
Erti Hibah

HIBAH

Hibah merupakan salah satu instrumen penting dalam perancangan harta menurut undang-undang Islam. Instrumen hibah ini digalakkan dalam Islam, di mana sekiranya ia dilakukan dengan betul dan selaras dengan kehendak syarak maka ia boleh mengelakkan berlakunya pertikaian dan perebutan harta di kalangan waris dan juga bukan waris. Melalui hibah juga, ia dapat membantu kaum kerabat serta orang ramai yang memerlukan bantuan.

Apakah yang dimaksudkan dengan Hibah?
Hibah bermaksud memberi milik sesuatu kepada orang lain secara sukarela tanpa melibatkan tukaran dan pemberian milik itu dilakukan semasa pemberi tersebut masih hidup.

Apakah hukum Hibah?
Dari segi hukum, hibah ialah suatu amalan sunat yang digalakkan dalam Islam terutama sekali kepada kaum keluarga terdekat. Amalan ini adalah berdasarkan al-Quran, al Sunnah dan ijmak. Antara ayat al-Quran yang menggalakkan amalan hibah adalah sebagaimana firman Allah S.W.T yang bermaksud:
".. dan memberikan harta yang dicintainya kepada
kerabatnya, anak-anak yatim, orang-orang miskin, musafir
(yang memerlukan pertolongan) dan orang-orang yang
meminta-minta dan (memerdekakan) hamba sahaya ".
(Surah al-Baqarah ayat 177).

Hibah boleh disimpulkan dengan ciri-ciri spesifik seperti berikut:
i) Suatu akad pemberian milik harta kepada sesuatu pihak.

ii) Harta yang boleh dihibahkan ialah ain harta (secara konkrit), bukannya hutang atau sekadar manfaat.

iii) Akad Hibah dibuat tanpa sebarang barang (‘iwad).

iv) Akad Hibah berkuat kuasa semasa hidup penghibah.

v) Dibuat secara sukarela tanpa paksaan atau pengaruh.

vi) Akad dibuat bukan bertujuan mendapat pahala atau memuliakan seseorang, dalam erti kata berbeza sifatnya dengan sedekah dan hadiah.

Apakah syarat pemberi Hibah?
Pemberi hibah hendaklah seorang yang berkeahlian seperti sempurna akal, baligh dan rushd (matang dan cerdik). Pemberi hibah juga hendaklah memiliki dan mempunyai kuasa terhadap barang yang dihibahkan.

Rukun-Rukun Hibah:
  • Aqad (Ijab dan Qabul)
  • Pemberi
  • Penerima
  • Harta Hibah
*Oleh itu tiada hibah yang boleh dibuat selepas kematian.

Siapakah yang boleh menerima Hibah?
Sesiapa sahaja boleh menjadi penerima hibah (al-mawhub-lahu) asalkan dia mempunyai keupayaan untuk memiliki harta, sama ada mukalaf atau bukan mukalaf. Sekiranya penerima hibah bukan mukalaf seperti masih belum akil baligh atau kurang upaya, hibah boleh diberikan kepada walinya atau pemegang amanah bagi pihaknya.

Bolehkah Hibah ditarik balik atau dibatalkan?
Menurut pendapat mazhab Syafie. Hambali dan sebahagian fuqaha mazhab Maliki, penarikan balik Hibah boleh berlaku dengan semata-mata ijab dan kabul. Tetapi apabila disertakan dengan penyerahan dan penerimaan barang (al-qabd) maka Hibah berkenaan tidak boleh ditarik balik kecuali hibah yang dibuat oleh bapa (termasuk juga ibu, datuk, nenek dan usul yang lain) kepada anak-anaknya selama harta itu tidak ada kaitan dengan orang lain (telah diserah atau dijual kepada orang lain) .

Berapakah kadar harta yang boleh dihibahkan?
Tiada kadar atau had tertentu bagi harta yang hendak dihibahkan kerana harta tersebut rnerupakan milik pemberi hibah. Terpulang kepada pemberi hibah untuk membuat pertimbangan kadar harta yang ingin dihibahkan.

Jenis harta yang boleh dihibahkan ialah semua jenis harta yang menjadi milik sah penghibah seperti hartanah (rumah, tanah, kondominium, apartment dsb), saham syarikat (sdn bhd atau berhad), saham unit amanah, polisi insurans atau Takaful dan lain-lain harta bernilai yang boleh dimiliki dan dipindah milik. Tujuan dan kesan hibah ialah semata-mata ingin memenuhi kehendak penghibah berkenaan kepada siapa yang dia ingin berikan hartanya. Sebagai contohnya, seorang ibu yang ingin memberikan rumahnya  epada anak angkatnya setelah kematiannya nanti. Beliau boleh mengisytiharkannya melalui dokumen hibah, secara automatik rumah yang dihibahkan akan terkeluar daripada senarai harta pusaka dan tidak akan difaraidkan kepada ahli waris. Sesiapa saja boleh melakukan hibah ke atas hartanya kepada sesiapa saja yang dikehendakinya.

Barangan atau harta yang dihibahkan perlu memenuhi syarat-syarat berikut;
1) Barangan atau harta halal.
2) Mempunyai nilai di sisi syara’.
3) Milikan penuh penghibah.
4) Boleh diserahmilikan.
5) Benar-benar wujud semasa akad.
6) Harta wujud secara berasingan dan boleh dipisahkan daripada harta-harta yang tidak termasuk dalam Hibah. Barangan bercagar boleh dihibahkan dengan syarat mendapat keizinan daripada penggadai atau peminjam.

Siapakah yang boleh membuat permohonan pengesahan Hibah di Mahkamah?
Permohonan pengesahan hibah boleh dibuat sama ada oleh penerimaan hibah atau ahli waris mereka, atau mana-mana pihak yang berkaitan dengan hibah tersebut.

Apakah maklumat -maklumat yang diperlukan bagi kes permohonan pengesahan Hibah?
Maklumat penting yang diperlukan bagi permohonan pengesahan hibah adalah seperti yang berikut :

(a) butir-butir harta/barang yang dihibahkan;
(b) maklumat pemberi hibah:
(c) maklumat penerimaa hibah:
(cl) butir-butir / maklumat akad hibah di lakukan·
(e) maklumat penerimaan (al-qabd) hibah. '

9 Golongan Perlu HIBAH
1. Pasangan yang tiada anak
2. Pasangan mempunyai anak angkat
3. Pasangan memiliki anak perempuan sahaja
4. Ibubapa yang ingin membahagi harta kepada anak secara samarata tanpa pertikaian
5. Pasangan yang membeli harta bersama
6. Individu yang bujang dan tidak berkahwin
7. Ibubapa yang memiliki anak OKU
8. Orang berpoligami/bermadu
9. Ahli perniagaan – Elak syarikat berpecah

Jenis-Jenis Hibah
Terdapat dua jenis hibah yang sering diperkatakan oleh ahli-ahli ulamak dan para fuqaha iaitu hibah umra dan hibah ruqba. Walau bagaimanapun, terdapat 2 jenis hibah yang diperkenalkan oleh institusi-institusi awam dan swasta yang menggunakan produk hibah iaitu hibah terus (pindahmilik) dan hibah beramanah (menggunakan Pemegang Amanah)

1) Hibah Umra
Al-‘Umra bermaksud pemberian semasa tempoh hidup penerima hibah atau pemberi hibah dengan syarat harta tersebut dikembalikan setelah kematian penerima hibah. Al-‘Umra juga bermaksud suatu pemberian yang bersifat sementara yang merujuk kepada hayat salah seorang sama ada pemberi hibah atau penerima hibah. Ini bermaksud, kontrak hibah jenis ini meletakkan umur sebagai syarat hibah samada berkait dengan umur pemberi atau umur penerima. Sekiranya penerima hibah meninggal dunia maka harta yang dihibahkan itu dikembalikan kepada pemberi hibah. Sebaliknya, jika pemberi hibah meninggal dunia maka harta hibah akan dikembalikan kepada waris pemberi hibah. Contoh lafaz hibah al-‘umra adalah seperti pemberi hibah berkata: “tanah ini aku berikan (hibahkan) kepada kamu semasa kamu hidup dan jika kamu mati maka harta itu kembali kepada aku jika aku masih hidup dan kepada waris aku jika aku telah mati”.

2) Hibah Ruqba
Istilah Ruqba pula diambil dari perkataan Arab, ruqub atau taraqqub yang bermaksud menunggu. Iaitu masing-masing menunggu kematian siapa terlebih dahulu. Kontrak ini juga diterima sebagai kontrak hibah yang diakui oleh syarak. Hibah al-ruqba pula bermaksud hibah dibuat dengan satu perjanjian antara penghibah dengan penerima hibah bahawa jika berlaku kematian salah seorang daripada mereka, maka harta dihibahkan itu akan berpindah kepada masih hidup (Hj. Othman Yaacob, 2007). Al-Ruqba juga bermaksud suatu pemberian bersyarat yang ditentukan oleh pemberi hibah, di mana harta hibah akan menjadi milik penerima hibah sekiranya pemberi hibah meninggal dunia. Tetapi jika penerima hibah meninggal dunia sebelum pemberi hibah maka harta hibah akan kembali kepada pemberi hibah. Contoh lafaz hibah al-ruqba adalah seperti pemberi hibah berkata: “tanah ini aku berikan kepada kamu sebagai ruqba dan jika kamu mati dulu maka harta itu kembali kepada aku dan jika aku mati dulu maka harta itu untuk kamu”.

Para fuqaha’ sepakat tidak mengharuskan hibah yang disyaratkan pemilikannya akan terlaksana pada suatu tempoh masa yang akan datang. Majoriti ulamak berpendapat hibah yang bersifat sementara seperti hibah umra dan ruqba adalah sah tetapi syaratnya terbatal. Mereka berhujah bahawa jika syarat itu terpakai maka ia bertentangan dengan kehendak akad hibah itu sendiri. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Peliharalah harta kamu dan janganlah kamu (menghibahkannya) secara ‘umra kerana sesungguhnya sesiapa yang (menghibah) sesuatu secara ‘umra, maka ia menjadi milik orang yang dihibahkan”. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sebahagian daripada fuqaha’ mazhab Hanbali, Imam Malik, Imam al-Zuhri, Abu Thur dan lain-lain serta qawl al-qadim Imam Syafie berpendapat bahawa hibah umra adalah harus dan syaratnya sah jika tidak dinyatakan oleh pemberi hibah bahawa harta yang dihibahkan akan menjadi milik waris penerima hibah selepas kematian penerima hibah. Ini bermakna harta hibah akan kembali kepada pemberi hibah selepas kematian penerima hibah. Sementara pendapat lain pula mengambil pendekatan bahawa hibah yang bersifat sementara pada hakikatnya bukanlah hibah tetapi ia adalah ‘ariyah (peminjaman). Imam Abu Hanifah dan Imam Malik mengharuskan hibah umra tetapi tidak mengharuskan hibah ruqba. Pandangan mereka adalah berpandukan kepada hadis Rasulullah s.a.w yang telah mengharuskan hibah umra dan membatalkan hibah ruqba. Namun hadis ini dikritik oleh Imam Ahmad kerana ia tidak diketahui kesahihannya. Mereka juga berpendapat bahawa hibah ruqba adalah hibah ta’liq ke atas sesuatu yang tidak jelas dari segi tempoh ia akan terlaksana. Berdasarkan perbincangan di atas, dapat dirumuskan bahawa antara isu penting yang membawa perbezaan pandangan di kalangan fuqaha’ mengenai hibah umra dan hibah ruqba ialah tertumpu kepada unsur hibah yang bersifat sementara dan hibah sesuatu yang dita’liqkan dengan hayat seseorang. Kedua-dua isu ini telah menimbulkan reaksi yang berbeza di kalangan fuqaha’. Mazhab yang mengatakan hibah umra dan hibah ruqba tidak diharuskan adalah berpandukan kepada hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Janganlah kamu memberi (hibah) sama ada secara “umra atau ruqba”. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Mazhab yang mengharuskan hibah umra dan hibah ruqba pula berhujah dengan hadis yang bermaksud:

“(Hibah) ‘umra dan ruqba adalah diharuskan bagi mereka”. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

3) Hibah Terus
Proses Hibah Terus
Hibah terus ini merupakan hibah yang tidak menggunakan Pemegang Amanah di mana pemberi hibah akan melakukan hibah dengan memberi hibah secara terus kepada penerima hibah. Segala rukun dan prosedur perlaksanaan dilaksanakan dengan betul dan mengikut syarat dan seterusnya penerima hibah akan menerima atau mengambil milikan harta tersebut ketika pemberi hibah masih hidup lagi.



Ia merupakan salah satu hibah dimana barang yang ingin dihibahkan itu akan diberikan kepada penerima hibah secara terus. Sebagai contoh, sebiji pen yang ingin diberikan kepada seseorang atas dasar kasih sayang dan penerima itu menerima pen tersebut, maka ia merupakan hibah secara terus. Tetapi mungkin akan berlaku kekhuatiran di fikiran pemberi hibah, mungkin jika pemberi hibah memberi hibah tersebut kepada penerima hibah itu, dan penerima hibah itu akan berubah hati dan membuat keputusan untuk menjual pen tersebut kepada orang lain.

Maka bagi mengatasi masalah ini, satu lagi jenis hibah telah diperkenalkan iaitu hibah amanah.

4) Hibah Amanah
Proses Hibah Amanah
Hibah amanah ini merupakan hibah yang sering digunakan oleh kebanyakan institusi-institusi pengurusan harta contohnya seperti Amanah Raya Berhad. Hibah jenis ini adalah berbeza daripada hibah secara terus di mana ia menggunakan khidmat Pemegang Amanah. Pemegang Amanah ini merupakan orang perseorangan
atau badan berkanun atau institusi yang dilantik atau dipilih dan diberi kuasa untuk mengawasi atau mentadbir harta atau aset penghibah sehinggalah penghibah ingin menyerah milikan harta atau meninggal dunia. Dalam erti kata lain, ia boleh dikatakan sebagai hibah tertangguh di mana harta yang dihibahkan itu bukan lagi menjadi milik pemberi hibah dan belum lagi menjadi hakmilik penerima hibah. Harta tersebut menjadi hakmilik atau amanah yang dipegang oleh pemegang amanah iaitu seperti Amanah Raya Berhad.

Kebaikan melakukan hibah amanah ini berbanding dengan hibah terus ialah pemberi hibah tidak perlu khuatir jika jika penerima hibah itu ingin menjual harta yang diberi tersebut kerana dengan adanya pemegang amanah, harta yang dihibahkan itu akan selamat dan akan diberikan kepada penerima hibah setelah pemberi hibah meninggal dunia.
Back To Top