Ahli Waris Asabah - Nota Kewangan Islam

Info, tips dan khidmat nasihat Takaful, Harta Pusaka, Faraid & Kewangan Islam.


SESIAPA SAHAJA, DI MANA-MANA, PADA BILA-BILA MASA...

Ahli Waris Asabah

waris berebut harta pusaka

Ahli Waris Asabah

Asabah bermakna kadar bahagian yang tidak ditetapkan secara tepat oleh syarak. Ahli waris yang mendapat bahagian secara asabah ini:
  • Adakala mendapat semua pusaka
  • Adakala mendapat baki selepas diambil oleh ahli fardu
  • Adakala langsung tidak mendapat bahagian kerana dihabisi oleh ahli fardu.
Dari sudut bahasa ialah membolot atau menghabiskan harta. Dari sudut syarak ialah orang yang menghabiskan harta pusaka seluruhnya apabila ia sendiri sahaja dan yang menghabiskan baki setelah orang yang wajib atau fardu telah mengambil hak mereka.

*Tips:- Ahli waris fardu akan menerima bahagian dalam harta pusaka terlebih dahulu kemudian barulah ahli waris asabah.

Terdapat 3 jenis asabah, iaitu:

1) Asabah bi Nafsihi.
- Asabah bi Nafsihi terdiri daripada ahli waris yang terdiri daripada kaum lelaki sahaja. Contohnya: anak lelaki, bapa, datuk sebelah bapa, cucu lelaki.

Contoh kes: Seorang lelaki mati meninggalkan isteri dan anak lelaki. Bahagian isteri adalah 1/8 dan anak lelaki adalah asabah bi nafsihi dan menghabiskan 7/8 daripada baki harta tersebut.

2) Asabah bi Ghayri
- Asabah bi Ghayri terdiri daripada ahli waris daripada kaum lelaki dan kaum perempuan. Contohnya: anak lelaki akan mewarisi bersama anak perempuan dan cucu lelaki akan mewarisi bersama anak perempuan.

Contoh kes: Seorang lelaki mati meninggalkan isteri, seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan. Bahagian isteri adalha 1/8 atau 3/24, bahagian anak perempuan 7/24 dan bahagian anak lelaki adalah 14/24. Anak lelaki dan anak perempuan menghabiskan harta tersebut pada nisbah 2:1.

3) Asabah Ma'a Ghayri
- Asabah Ma'a Ghayri terdiri daripada ahli waris daripada kaum perempuan sahaja. Contohnya: anak perempuan akan mewarisi bersama saudara kandung perempuan seibu sebapa.

Contoh kes: Seorang lelaki mati meninggalkan isteri, seorang anak perempuan dan saudara perempuan kandung seibu sebapa. Bahagian isteri adalah 1/8, seorang anak perempuan 4/8 dan baki 3/8 diwarisi oleh saudara perempuan kandung seibu sebapa.

Baca Artikel Seterusnya:
Doktrin Al-Hijab


 faraid mudah faham

Back To Top