RM60b harta umat Islam tidak dituntut
KUALA LUMPUR: Sebahagian besar daripada harta umat Islam bernilai RM60 bilion yang tidak dituntut di negara ini sejak merdeka, berada dalam bentuk hartanah dan wang.
Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam (IKIM), Prof Datin Dr Azizan Baharuddin, berkata aset berkenaan merangkumi rumah, tanah dan wang tunai yang tidak dituntut waris.
"Walaupun statistik tidak memperincikan jumlah aset orang Islam dan bukan Islam, kita percaya kebanyakan aset itu adalah milik orang Islam," katanya merasmikan seminar 'Faraid dan Perancangan Pewarisan: Isu Harta Beku dan Penyelesaiannya di Malaysia' di sini, sebentar tadi.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalannya, Dr Mohd Zaidi Ismail.
Azizan berkata, kurangnya kesedaran mengenai kepentingan perancangan wasiat adalah antara faktor utama menyebabkan aset umat Islam tidak dituntut dan dibekukan di negara ini.
Pada masa sama, katanya, keadaan itu tidak wajar dikaitkan dengan sistem faraid kerana hakikat adalah sebaliknya.
"Hasil kajian menunjukkan masalah ini berpunca daripada beberapa faktor termasuk kejahilan waris mengenai prosedur perlu diikuti, selain sikap waris yang tidak menghiraukan aspek wasiat.
"Kos tinggi dan proses birokrasi turut menyumbang kepada isu ini.
"Proses pengagihan harta menjadi lebih rumit apabila berlaku isu waris bertindih dan penipuan serta pertikaian dalam kalangan waris," katanya sambil menambah sistem faraid wajib dipatuhi waris.
Januari lalu, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Hamim Samuri, dilaporkan berkata, sikap ambil mudah menangguhkan permohonan pembahagian harta pusaka adalah antara faktor penyebab kira-kira RM60 bilion jumlah harta tidak dituntut oleh waris si mati sejak Malaysia mencapai kemerdekaan.
Jumlah itu diperoleh menerusi rekod Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) melalui Bahagian Pembahagian Pusaka (BPP).
*Artikel dipetik dari BH Online - 29 March 2016