Urus Harta Pusaka, Usah Beban Waris
"BIARLAH dulu, tanah kubur masih merah. Tak perlu berebut harta pusaka...” Itu mungkin kata-kata yang biasa didengar setelah berlaku kematian.
Seolah-olah yang bertanya tidak sabar untuk mendapatkan harta si mati. Namun jika difahami yang tersirat, ia bertujuan menyelesaikan hak si mati seperti hutang dan berkaitan hak waris yang terlibat.
Berbaki RM60 bilion jumlah harta yang tidak dituntut waris sejak 1950 menunjukkan kesedaran rakyat di negara ini khususnya beragama Islam membuat permohonan pengurusan harta pusaka masih rendah.
Kurang 10 peratus membuat wasiat dan didokumentasikan manakala selebihnya masih belum menyediakan wasiat.
Usah tangguh dalam menguruskan harta pusaka kerana kematian akan berlaku pada bila masa sahaja.
Ikuti perkongsian lanjut daripada pakar perancang harta Islam, Norisah Ibrahim.
Bagaimanakah kesedaran rakyat di negara ini terhadap pengurusan harta pusaka?
Pemahaman dan kesedaran umat Islam masih rendah menyebabkan banyak harta pusaka masih belum dituntut. Bagaimanapun ia telah menunjukkan sedikit peningkatan berbanding tahun-tahun sebelum ini.
Sekiranya kita meninggal dunia tanpa mempunyai wasiat atau pengurusan harta yang sah, proses menuntut harta mengambil masa yang panjang sebelum diagihkan kepada waris. Lebih merumitkan pelantikan pentadbir tidak mendapat persetujuan waris, perbalahan antara waris yang mengundang jenayah.
Malah, memandang ringan menjadi sebab pengurusan harta pusaka tidak menjadi penting kepada segelintir rakyat di negara ini. Mereka juga tidak mahu mengambil tahu prosedur yang perlu dilalui dan agensi terlibat yang sepatutnya menguruskan urusan pembahagian harta pusaka.
Walaupun pengurusan harta dikaitkan dengan kematian, hak milik harta atau kuasa terhadap harta perlu disusun dengan lebih baik. Ia penting supaya tidak membebankan waris si mati.
Sekiranya berlaku kematian sebelum sempat menyusun perancangan harta pusaka, ia akan mengundang pelbagai masalah antaranya harta akan dibekukan. Bagaimana nasib anak- anak yang masih kecil setelah ketiadaan waris dan harta pusaka yang ditinggalkan tidak memberikan manfaat kepada mereka.
Apakah faktor lain yang menjadi penyumbang harta pusaka tidak dituntut?
Faktor lain kerana tidak mempunyai pengalaman mengenainya dan menganggap ia membebankan. Mereka menganggap proses permohonan pembahagian memerlukan kos tinggi dan lambat.
Pengurusan lambat disebabkan tiada kesepakatan dalam melakukan permohonan selepas kematian. Ada juga menyerahkan pengurusan harta melalui faraid sahaja.
Walaupun faraid mempunyai pengagihan yang tersusun, tetapi pewasiat boleh meninggalkan pesanan, hasrat, arahan dan menentukan apa yang dia mahu dalam wasiat. Ia bertujuan mengelakkan pertikaian, perebutan dan penganiayaan dalam kalangan waris.
Proses pentadbiran, pelantikan wasi yang amanah dan dokumentasi harta pusaka adalah cabaran dalam menguruskan harta pusaka.
Tanpa mereka sedar, kelalaian mereka untuk menguruskan harta pusaka menyebabkan status pemilikan tidak rasmi boleh mengakibatkan isu termakan harta yang bukan hak dan harta anak yatim.
Selain itu, tiada pengetahuan dan maklumat untuk mengurus harta pusaka si mati. Ada juga segelintir yang bersikap tidak apa dan tidak prihatin. Menganggap tugas menyelesaikan harta pusaka satu tugas yang remeh-temeh. Sikap menangguhkan penyelesaian pusaka tidak mendatangkan sebarang kesan dari segi hukum dan undang-undang.
Tidak prihatin terhadap tuntutan agama yang menuntut disegerakan pembahagian pusaka si mati. Mereka menyelesaikan apabila ada sesuatu yang mendatang keuntungan apabila harta dijual. Pertikaian dalam kalangan waris punca harta dibiar tanpa diurus.
Apakah kesan apabila seseorang melengahkan pengurusan harta dan meninggal dunia tanpa wasiat?
Kita sebagai umat Islam sepatutnya tidak melengahkan pengurusan harta sebelum kematian dan perlu fikirkan kesan-kesan dari sudut hukum syarak, undang-undang, sosial dan ekonomi. Tanpa perancangan dan pengurusan harta yang baik boleh memberi kesan negatif kepada pemilik harta dan harta tersebut.
Antaranya ialah sekiranya tidak mengurus dan merancang harta dari awal, ia akan melibatkan waris-waris berterusan memakan harta yang bukan hak mereka secara sedar ataupun tidak. Firman ALLAH SWT “ Wahai orang-orang yang beriman, jangan kamu memakan harta antara kamu dengan cara batil.” (Surah an Nisa’4 ayat:29).
Para waris memakan hak si mati. Dalam harta pusaka si mati ada hak si mati yang perlu dijelaskan seperti hutang dengan manusia dan ALLAH.
Jika si mati meninggalkan anak-anak di bawah umur, harta yang ditinggalkan adalah harta anak yatim. ALLAH melarang keras perbuatan memakan harta anak yatim. “Jangan sekali-kali kamu dekati harta anak yatim, kecuali dengan cara yang baik sehingga dia mencapai umur yang baligh.” (Surah al-An’am 6: ayat 152).
Apabila seseorang meninggal dunia hartanya akan beku. Berlaku perselisihan faham dan pertikaian siapa yang akan menjadi pentadbir. Waris-waris menghadapi kesukaran untuk melantik pentadbir yang benar jujur dan amanah. Boleh berlaku penipuan dan penyelewengan di dalam pentadbiran harta pusaka.
Boleh kongsikan antara kes yang pernah terjadi?
Ada kes perebutan pusaka yang terpaksa dilalui seorang isteri yang kematian suami enam tahun lepas tidak dapat menyelesaikan pusaka peninggalan arwah suami sehingga hari ini disebabkan waris-waris sebelah suami enggan bekerjasama.
Kesannya, si isteri terpaksa bekerja untuk menyara diri dan anak-anak untuk meneruskan kelangsungan hidup, sedang arwah suami meninggalkan harta yang banyak.
Jika semasa hidup arwah suami merancang dan mengurus harta, perebutan sebegini dapat dielakkan.
Uniknya kes ini, adik-beradik arwah suami campur tangan dan ingin membolot kesemua harta tersebut dan menidakkan hak waris-waris faraid yang berhak.
Langkah yang perlu dilakukan untuk menyedarkan orang ramai mengenai pengurusan harta pusaka?
Semua pihak perlu bekerjasama mengenai pengurusan harta pusaka. Individu yang pakar dalam bidang pengurusan harta perlu tampil ke depan untuk menjelaskan mengenai kepentingan harta pusaka. Ia perlu diperluaskan walaupun dianggap satu topik yang agak berat. Harta adalah penting dan perlu diuruskan dengan baik supaya ia terus terpelihara dan tidak memutuskan ikatan kekeluargaan.
Kematian itu pasti. “Tiap-tiap yang berjiwa pasti akan merasa mati.” (Surah Al Anbiya ayat 35)
Kewajipan merancang pengurusan harta seharusnya dibuat dengan bijak dan teliti. Amalan yang dinamakan sebagai perancangan pengurusan harta ini bukan sekadar mengumpul, mengurus, membangunkan dan melindungi harta semata-mata, sebaliknya harta dan kekayaan yang dimiliki harus dipastikan dapat diwarisi oleh waris-waris dengan sebaiknya tanpa menimbulkan kesulitan dan kesusahan kepada waris yang berhak menerimanya.
Agensi yang bertanggungjawab menguruskan permohonan pembahagian harta pusaka?
Pembahagian harta pusaka di Malaysia terbahagi kepada tiga bahagian iaitu Harta Pusaka Besar yang mempunyai harta alih dan tak alih bernilai RM2 juta dan ke atas. Yang kedua adalah Harta Pusaka Kecil iaitu harta alih dan tak alih bernilai RM2 juta dan ke bawah manakala Pusaka Ringkas ialah tunai RM600,000 ke bawah.
Tiga agensi utama yang bertanggungjawab iaitu Mahkamah Tinggi bagi Pusaka Besar, Pejabat Pembahagian Pusaka Kecil bagi Pusaka Kecil dan Amanah Raya Berhad bagi Pusaka Ringkas.
Apakah yang dimaksudkan dengan hibah?
Hibah ialah pemberian ikhlas tanpa balasan atau pemberian kasih sayang kepada waris. Hibah bermakna sesuatu akad yang mengandungi pemberian hak milik oleh seseorang terhadap hartanya kepada orang lain semasa hidup dan tidak mengharapkan balasan.
Di As Salihin Trustee Berhad – produk pri-hibah (deklarasi hibah) mengguna pakai hibah sebagai satu mekanisme untuk menjamin hak anak-anak ianya adalah suatu pemberian. Hibah boleh dibuat melalui dua cara iaitu hibah dilafazkan semasa hidup dan diberi kepada penerima semasa hidup. Yang kedua adalah pri-hibah dilafazkan di dalam satu deklarasi pemilik aset yang menyatakan bahawa beliau memberi aset tersebut kepada penerima dan beliau memegang aset tersebut untuk kepentingan penerima. Aset tersebut diserahkan kepada penerima oleh pemegang amanah selepas pemberi hibah meninggal dunia.
Kelebihan membuat pri-hibah ialah aset pri-hibah tidak dianggap sebagai harta pusaka penghibah (kerana ia memberi kesan serta-merta mengikut terma dan syarat di dalam deklarasi hibah). Oleh itu ianya terkeluar daripada undang-undang pembahagian faraid dan boleh digunakan sebagai instrumen untuk pembahagian sama rata untuk anak-anak. Penghibah mempunyai kuasa untuk membatalkan hibah (sekiranya pemberian daripada ibu atau bapa kepada anak).
Jika ingin berhibah dalam wasiat, maka hibah yang boleh dilaksanakan tidak melebihi 1/3 daripada jumlah harta.
Apakah kepentingan harta sepencarian dan kebaikan kepada pasangan?
Harta sepencarian ialah harta yang diperolehi bersama suami dan isteri, sepanjang tempoh perkahwinan yang sah. Kedua-dua pihak memberi sumbangan sama ada secara langsung ataupun tidak langsung terhadap perolehan harta tersebut.
Pemberian kadar harta sepencarian suami atau isteri ke atas pasangannya berdasarkan tahap sumbangan yang pernah diberikan ke atas harta yang diperolehi bersama sebagai lambang kasih sayang kepada suami atau isteri.
Semasa hidup kita perlu membuat pengisytiharan harta sepencarian buat pasangan melalui deklarasi harta sepencarian. Dengan adanya dokumen deklarasi harta sepencarian yang disediakan semasa hidup ia memudahkan tuntutan harta sepencarian tanpa perlu melalui proses undang-undang yang lama dan pembahagian tidak perlu mengikut keputusan mahkamah. Deklarasi harta sepencarian dapat melindungi hak suami dan isteri jika waris tidak bersetuju.
*Artikel dipetik dari Harian Sinar 15 ogos 2016