Apa Itu Bajet?
Bajet adalah suatu pelan mengurus aliran tunai dan digunakan untuk membuat anggaran pendapatan dan perbelanjaan anda di masa hadapan. Secara ringkas, bajet menyenaraikan semua aliran masuk tunai dan aliran keluar tunai yang dijangkakan untuk membantu anda membuat keputusan kewangan secara berhemat.
Kenapa anda perlukan bajet?
Berapa kalikah anda telah membuat pengeluaran daripada mesin ATM tanpa menyedari bahawa anda telah menggunakan kesemua wang anda dalam tempoh sehari dua? Lazimnya agak sukar untuk kita mengingatkan kembali ke manakah wang itu dibelanjakan. Kebiasaannya ramai orang tidak menjejaki perbelanjaan dan berbelanja lebih daripada pendapatan mereka. Itulah sebabnya bajet adalah penting.
Kebaikan mempunyai bajet?
- Hidup mengikut kemampuan
- Memupuk tabiat menabung
- Menabung untuk digunakan semasa kecemasan kewangan
- Menambah nilai harta bersih
Keperluan dan kehendak.
Ingat, bajet adalah berdasarkan pendapatan dan perbelanjaan. Oleh sebab pendapatan dan perbelanjaan berbeza mengikut seseorang individu, maka bajet anda seharusnya berasaskan kepada keperluan dan kehendak anda.
Ingat, bajet adalah berdasarkan pendapatan dan perbelanjaan. Oleh sebab pendapatan dan perbelanjaan berbeza mengikut seseorang individu, maka bajet anda seharusnya berasaskan kepada keperluan dan kehendak anda.
Jadi, bagaimanakah caranya anda membezakan antara keperluan dan kehendak?
Keperluan adalah sesuatu yang anda perlu ada dan tidak boleh hidup tanpanya. Sementara kehendak pula adalah sesuatu yang anda inginkan tetapi tidak semestinya perlu.
Panduan menyediakan bajet.
Setelah mengetahui manfaat menyediakan bajet, sekarang anda sudah bersedia untuk membuat bajet sendiri. Semuanya dapat dilakukan melalui tiga langkah mudah berikut:
1) Senaraikan semua sumber pendapatan anda.
- Catatkan gaji bersih selepas ditolak potongan KWSP, cukai dan PERKESO.
2) Senaraikan semua perbelanjaan anda.
- Bahagikan perbelanjaan kepada tiga kategori - tetap, berubah-ubah dan berdasarkan budi bicara.
- Simpan 10% daripada jumlah pendapatan anda sebelum berbelanja.
3) Tentukan kedudukan aliran tunai bersih anda.
- Jika ada lebihan, syabas! Pastikan perbelanjaan anda yang sebenar mengikut bajet yang disediakan.
- Jika terdapat defisit, semak semula bajet anda dengan mengurangkan perbelanjaan budi bicara sehinggan kedudukan aliran tunai menjadi positif.
- Sebaiknya anda mempunyai lebihan wang untuk membina dana kecemasan.