WASIAT
Wasiat ertinya iqrar seseorang yang dibuat pada masa hayat ke atas hartanya untuk disempurnakan selepas kematiannya bagi maksud kebajikan yang dibenarkan menurut Hukum Syarak.
Dalil Wasiat
Firman Allah SWT yang bermaksud: “(Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang diwasiatkan oleh si mati dan sesudah dibayar hutangnya.”
(Surah An-Nisa’:11)
Daripada Abdullah bin Umar r.a., Rasullullah SAW bersabda yang bermaksud: “Seseorang muslim yang mempunyai sesuatu yang hendak diwasiatkan, tidak sepatutnya tidur selama dua malam, melainkan dalam keadaan wasiat telah siap ditulis di sisinya.”
(Riwayat Al-Bukhari)
Hukum Wasiat
Peringkat awal islam, hukum wasiat kesemua harta kepada ibu bapa dan sanak saudara adalah wajib sebagaimana dalil Al-Quran yang bermaksud: “Diwajibkan ke atas kamu, apabila seseorang daripada kamu hampir mati, jika dia meninggalkan harta, hendaklah dia membuat wasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabat dengan cara yang baik, sebagai suatu kewajipan ke atas orang-orang yang bertakwa.”
(Surah-Al Baqarah: 180)
Kewajipan ini telah dimansuhkan dengan ayat -ayat dan hadis-hadis yang berkaitan dengan pusaka. Namun, amalan berwasiat masih digalakkan dengan had maksima satu pertiga dan ditujukan kepada selain waris.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya Allah telah memberikan kepada setiap orang yang berhak akan hak masing-masing. Oleh itu, tidak harus lagi berwasiat untuk mana-mana waris.
(Riwayat Abu Daud)
Had Wasiat
Pewasiat digalakkan tidak mewasiatkan hartanya melebihi satu pertiga. Berdasarkan hadis daripada Saad bin Abi Waqqas r.a. Katanya: Rasulullah SAW menziarahiku ketika aku sakit tenat pada Haji Wada’. Aku berkata: Ya Rasulullah, aku kini tenat, aku seorang yang berharta dan tiada yang mewarisiku melainkan anak perempuanku. Apakah boleh aku bersedekah dengan dua oertiga hartaku?” Jawab baginda: ”Tidak.” Aku bertanya: “Apakah boleh aku bersedekah dengan separuh hartaku?.” : Jawab Baginda: ”Tidak, satu pertiga sahaja. Satu pertiga pun sudah banyak. Sesungguhnya engkau meninggalkan waris-waris engkau dalam keadaan kaya adalah lebih baik dari engkau meninggalkan mereka miskin dan meminta-minta dari orang ramai.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Satu pertiga adalah dikira setelah dijelaskan hutang yang berkaitan dengan harta atau tanggungan si mati. Sekiranya pewasiat menanggung hutang yang banyak hingga kehabisan segala hartanya, maka wasiatnya tidak perlu dilaksanakan.
HIKMAH DISYARIATKAN WASIAT
Allah SWT mengharuskan wasiat kerana ia membawa faedah kepada pewasiat, kaum keluarganya dan masyarakat amnya. Pewasiat menerima faedah apabila dia menerima ganjaran dan pahala kerana wasiatnya. Kebaikan ini juga in sha Allah akan menjaga nama baik Arwah yang meninggal dunia dan meninggalkan wasiat dengan sempurna.
Kaum keluarga juga menerima faedah kerana biasanya wasiat ditujukan kepada kaum keluarga yang tidak menerima sebarang harta pusaka atau pun anak angkat. Jadi, mereka menerima sebahagian dari harta pusaka ini melalui wasiat. Mereka ini kadang-kadang terdiri daripada orang yang memerlukan bantuan.
Wasiat merupakan salah satu cara untuk berinfaq atau bersedekah kepada kepentingan tertentu seperti pembinaan masjid, sekolah, perpustakaan, hospital, dan pelbagai perkara untuk kemudahan orang awam. Wasiat juga boleh dianggap sebagai suatu sistem takaful sosial dalam Islam kerana faedah dan kebaikkannya memberi manfaat kepada maslahah umum.
Borang Mohon Wasiat Online >> TULIS WASIAT ONLINE
atau klik wasap link ini untuk maklumat lanjut mengenai wasiat >> https://JomWasiatHarta.wasap.my