RISIKO MEMILIKI TANAH PERTANIAN GERAN KONGSI SESAMA AHLI KELUARGA DAN ORANG LUAR - Nota Kewangan Islam

Info, tips dan khidmat nasihat Takaful, Harta Pusaka, Faraid & Kewangan Islam.


SESIAPA SAHAJA, DI MANA-MANA, PADA BILA-BILA MASA...

RISIKO MEMILIKI TANAH PERTANIAN GERAN KONGSI SESAMA AHLI KELUARGA DAN ORANG LUAR

Risiko kongsi geran tanah

Banyak masalah yang mungkin timbul sekiranya anda memiliki tanah pertanian "geran kongsi" dengan pemilik yang lain, sama ada sesama adik beradik ataupun "orang luar".

Walaupun nama anda ada dalam geran tersebut, tetapi ianya tetap tidak memberi kelebihan sepenuhnya kepada anda.

Antara kelemahan memiliki tanah pertanian geran kongsi adalah:

1. Keluasan dan kedudukan sebenar bahagian tanah anda tidak dapat ditentukan dengan jelas dalam geran.

Ini kerana dari segi undang-undang, semua pemilik bersama di dalam satu geran kongsi akan berkongsi setiap bahagian dan sudut daripada tanah tersebut.

2. Pemilik bersama tidak boleh mendirikan rumah atas bahagian tanahnya. Ini kerana sebagaimana yang saya nyatakan di atas, keluasan dan kedudukan sebenar bahagian anda di atas tanah tersebut tidak dapat disahkan.

Keduanya, untuk tanah pertanian, hanya sebuah rumah/ bangunan sahaja boleh didirikan di atas satu ekar tanah. Itu pun dengan syarat rumah/ bangunan tersebut bukanlah suatu binaan kekal dan hanya bertujuan untuk menjaga kebun semata-mata dan keluasannya hendaklah tidak melebihi 1/5 daripada keluasan tanah tersebut.

Bayangkan kalau semua pemilik bersama nak dirikan rumah kediaman atas tanah tersebut. Sudah pasti ianya bertentangan dengan peruntukan undang-undang justeru pembinaan tersebut adalah dianggap tidak sah dari segi undang-undang.

3. Anda tidak boleh menggadaikan tanah tersebut kepada bank untuk tujuan mendapatkan sebarang pinjaman, melainkan dengan persetujuan bersama kesemua pemilik.

Dan seandainya tanah tersebut digadaikan kepada bank, geran asal tanah tersebut akan dipegang oleh pihak bank. Dan secara otomatiknya segala hak dan kepentingan pemilik bersama yang lain juga akan terkesan.

Jika peminjam gagal jelaskan bayaran pinjaman, keseluruhan tanah tersebut akan dilelong.

4. Biasanya hanya seorang pemilik sahaja yang akan pegang geran. Sekiranya pemilik bersama yang lain ingin memindah milikkan bahagian mereka kepada pihak ketiga, mereka terpaksa terlebih dahulu mendapatkan geran asal daripada pemilik yang pegang geran tersebut.

Biasa berlaku perbalahan sesama pemilik bersama, apabila pemilik  yang pegang geran tersebut enggan memberi pinjam geran asal kepada pemilik bersama untuk tujuan pindah milik kepada pihak ketiga. Alasannya takut geran hilang.

5. Walaupun pemilik bersama boleh menjual bahagian masing-masing  daripada tanah tersebut kepada pihak ketiga, namun masalah mungkin akan timbul terutamanya untuk memindah milikkan bahagiannya kepada pembeli sekiranya pemilik bersama yang pegang geran enggan bekerjasama.

Tambahan pula sekiranya pembeli tersebut adalah "orang luar", bermungkinan besar agak sukar untuknya nya membangunkan tanah tersebut tanpa kerjasama dengan pemilik bersama yang lain.

Maka, cara terbaik untuk menyelesaikan masalah di atas adalah melalui TUKAR SYARAT KEPADA STATUS BANGUNAN DAN PECAH BAHAGIAN.

Tapi biasalah, mesti anda akan kata ianya akan melibatkan kos yang tinggi dan kebanyakan orang tak mampu kan?

Bagaimana pula jika tidak semua pemilik bersama bersetuju untuk buat urusan tukar syarat dan pecah bahagian tersebut?

Isu tersebut nanti saya akan ulas dalam tulisan saya yang akan datang. Insya Allah.

Sekian, terima kasih.

Credit Artikel to
SALKUKHAIRI ABD SUKOR
Timbalan Presiden
Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam)
Back To Top