Industri takaful merupakan satu contoh kerjasama tersebut dan sesungguhnya, konsep tabarru' adalah intipatinya. Bank Negara Malaysia menerangkan: "Tabarru' adalah persetujuan peserta untuk melepaskan sebagai sumbangan, sebahagian daripada caruman takaful yang dipersetujui untuk dibayar, untuk membolehkannya memenuhi tanggungjawab untuk saling membantu dan menanggung bersama sekiranya berlaku apa-apa musibah kerugian ke atas para pesertanya.
Konsep tabarru' ini menolak unsur-unsur ketidaktentuan di dalam kontrak takaful. Perkongsian keuntungan atau lebihan yang mungkin terhasil daripada operasi takaful hanya dilakukan selepas tanggungjawab membantu para peserta teleh dipenuhi. Dengan itu, operasi takaful boleh dilihat sebagai perniagaan untuk berkongsi keuntungan di antara pengendali takaful dan para peserta dalam sesuatu kumpulan skim".
Pengendali takaful bertindak sebagai syarikat pengurusan skim takaful sepertimana dalam pengurusan skim pelaburan berkumpulan. Selain daripada bayaran yuran pengurusan yang diterima, pengendali takaful juga menerima keuntungan bersama seperti yang dipersetujui. Hal berkongsi untung pelaburan ini tidak ada bagi pengurus skim pelaburan berkumpulan.