Jangan Berhutang |
Punca utama hutang mudarat ialah kad kredit, skim sewa beli dan skim bayaran mudah. Ketiga-tiganya memudahkan kita berbelanja lebih daripada kemampuan dan mencengkam kita dengan kadar bunga atau keuntungan yang melipat gandakan jumlah hutang kita yang asal.
Kad kredit kini sudah sebati dengan kehidupan kita. Malah yang tiada kad kredit boleh dipandang serong atau digolongkan di kalangan manusia yang pelik. Kurangkan berbelanja dengan kad kredit. Kita perlu memahami beberapa perkara:
Pertama:
-- Otak manusia tidak menganggap kad kredit itu 'wang', jadi transaksi ratusan atau ribuan ringgit tidak mencetus rasa psikologi untuk menghadkan perbelanjaan. Perkara yang sama dibuat di kasino yang mana wang ditukar kepada kepingan-kepingan plastik. Kalah ribuan ringgit dalam bentuk plastik tidak sama kalah ribuan ringgit dalam bentuk wang sekurang-kurangnya ketika sedang berjudi.
Kedua:
-- Kita tidak tahu berapa baki wang yang boleh kita berbelanja lagi. Tahu-tahu kad kredit kita kena 'block'...masa itu tersenyum sipulah kita.
Ketiga:
-- Kita sentiasa digalakkan berbelanja dengan menggunakan kad kredit. Unsur-unsur glamour disabitkan melalui iklan-iklan yang menarik serta hadiah-hadiah points yang boleh ditukarkan dengan pelbagai hadiah pada kemudian hari.
Paling baik jangan guna kad kredit. Jika perlu juga, gunakan kad debit. Bayaran segala pembelian kad debit akan dipotong terus daripada akaun kita. Jadi kita tidak berhutang tetapi rajin-rajinlah periksa akaun sebelum menggunakan kad debit, silap-silap tiada baki pulak...lagi haru dibuatnya.
Kalau tidak boleh elak, ikut petua ini apabila ada kad kredit - bayar semua hutang dan elak lambat bayar. Kadar bunga kad kredit biasanya 18% setahun. Hutang akan membiak dengan sendiri untuk mencekik kita jika tidak dilangsaikan dengan segera.
Skim sewa beli tertakluk kepada Akta Sewa Beli 1967. Akta ini menentukan caj berjangka yang boleh dikenakan kepada kita. Di bawah akta ini sungguhpun ditulis caj berjangka 10% tetapi cara kiraan bayaran menyebabkan kita membayar sehingga 18% setahun untuk pinjaman. Jumlahnya...macam kad kreditlah. Hanya satu perbezaan:
Barangan yang dibeli (biasanya kereta, perabot dan peralatan elektrik) bukan milik kita sehingga semua hutang habis dibayar. Itulah sebabnya pihak bank boleh menarik balik kereta kita apabila ansuran bulanan gagal dilangsaikan.
Skim bayaran mudah memang menarik. Ini merupakan usaha peniaga bermain 'can mali can' dengan pengguna tanpa terikat dengan Akta Sewa Beli. Yang rugi ialah pembeli kerana jumlah bayaran balik bagi sesuatu pembelian tiada hadnya. Iklan hanya menyatakan belian tunai RM999 tetapi bayaran mingguan hanya RM9.99 sahaja. Bilangan minggu yang perlu dibuat bayaran tidak dinyatakan kecuali semasa membuat perjanjian. Itupun dalam huruf kecil, kalau peguam pun akan mengambil masa untuk memahami kandungannya.
Kad kredit, skim sewa beli dan skim bayaran mudah akan memerangkap kita ke dalam hutang mudarat. Cara untuk mengelakkannya mudah tetapi perlu banyak kesabaran.
Menabunglah sehingga cukup simpanan untuk kita membeli keperluan kita secara tunai.
Panduan Penting:
--> Berbelanjalah secara tunai untuk sesuatu yang akan merosot nilainya dengan masa.
--> Kad kredit, skim sewa beli dan skim bayaran mudah memudahkan kita berbelanja melebihi kemampuan
--> Kadar faedah pinjaman akan menimbulkan masalah kewangan.
Panduan Penting:
--> Berbelanjalah secara tunai untuk sesuatu yang akan merosot nilainya dengan masa.
--> Kad kredit, skim sewa beli dan skim bayaran mudah memudahkan kita berbelanja melebihi kemampuan
--> Kadar faedah pinjaman akan menimbulkan masalah kewangan.