Panduan Urus Tuntutan Duit KWSP Selepas Kematian - Nota Kewangan Islam

Info, tips dan khidmat nasihat Takaful, Harta Pusaka, Faraid & Kewangan Islam.


SESIAPA SAHAJA, DI MANA-MANA, PADA BILA-BILA MASA...

Panduan Urus Tuntutan Duit KWSP Selepas Kematian

kwsp, epf
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja

Cara-cara urus tuntutan duit KWSP selepas kematian pemilik.

Apabila ahli KWSP meninggal dunia, penama, wasi, pentadbir, atau waris terdekat kepada ahli itu boleh memohon untuk mengeluarkan simpanan si mati, tertakluk kepada syarat yang telah ditetapkan.

Bagi ahli yang ada penamaan, penama boleh memohon mengeluarkan simpanan ahli dengan syarat penama telah mencapai umur 18 tahun. Jika belum cukup umur, penjaga boleh mengemukakan permohonan dan surat rayuan.

Surat rayuan ini perlu menyebut alasan kepada permohonan itu, iaitu kenapa simpan itu perlu dikeluarkan sedangkan penama masih belum cukup umur. Sama ada permohonan diluluskan atau tidak, terserah kepada budi bicara KWSP.

Apa pula yang akan berlaku jika penama itu meninggal dunia sebelum atau selepas ahli itu mati? Bagi menjawab soalan ini, ada dua keadaan. Pertama, jika ahli beragama Islam dan kedua jika bukan Islam.

Bagi ahli beragama Islam, jika penama meninggal dunia sebelum atau selepas ahli itu mati, maka waris terdekat ahli yang meninggal dunia itu yang layak memohon. Ini disebabkan penama bertindak sebagai wasi atau pentadbir kepada simpanan KWSP ahli itu.

penama KWSP
Status Penama KWSP
Manakala bagi ahli yang bukan Islam, jika penama mati sebelum ahli mati, maka waris terdekat ahli yang layak memohon. Tetapi jika penama mati selepas ahli mati, waris terdekat kepada penama layak memohon.

Perbezaan ini berlaku kerana dalam hal ahli yang bukan beragama Islam, penama yang dinamakan itu adalah pemilik mutlak simpanan ahli yang mati itu. Oleh itu, apabila penama ini mati, simpanan itu dianggap pusakanya.

Jika simpanan ahli tiada penamaan, maka wasi, pentadbir pusaka atau waris terdekat boleh memohon. Tidak banyak perbezaan antara ada penama dan tiada penama. Hanya perlu menyerahkan salah satu daripada perkara berikut:

1. Surat Kuasa Mentadbir;

2. Surat Probet;

3. Perintah Pembahagian;

4. Sijil Faraid.

Tetapi sedarkah anda kesan perbezaan ini? Kesan yang paling jelas adalah masa. Waris perlu mendapatkan salah satu daripada perkara di atas dan ini akan mengambil masa.

Justeru, lebih cepat sekiranya hali membuat penamaan kerana dengan cara itu penama dapat terus memohon mengeluarkan simpanan ahli selepas ahli itu meninggal dunia dan tidak perlu mendapatkan perkara di atas. Pembahagian boleh dibuat dengan segera.

Paling tidak pun, wang simpanan ahli tadi boleh juga dijadikan belanja untuk menguruskan harta pusaka si mati yang lain yang perlu mendapatkan perintah atau surat berkaitan daripada pihak yang sepatutnya. Ini tentunya dapat meringankan beban waris.

Bagi permohonan permohonan pengeluaran kematian ini, terdapat dua kategori dokumen yang perlu diserahkan, iaitu dokumen utama dan dokumen sokongan. Senarai dokumen yang perlu diserahkan bergantung kepada keadaan.


Bagi dokumen utama, pemohon perlu menyerahkan:

1. Borang Permohonan KWSP 9KM (AHL);

2 Sijil Kematian Ahli;

3. Kad Pengenalan awam (MyKad atau MyPR) atau Kad Pengenalan Polis/Tentera dan Surat Pengesahan Majikan yang menyebut nombor polis/tentera dan nombor kad pengenalan awam itu merujuk kepada orang yang sama; pasport, jika bukan warganegara Malaysia;

3. Buku bank yang masih aktif dan di bank panel KWSP yang dilantik.

Jika pemohon ialah penama, dokumen sokongan yang diperlukan adalah seperti berikut:

1. Sijil Kelahiran Penama (jika penama didaftar menggunakan nombor sijil itu);

2 Surat Rayuan dan Sijil Kelahiran Penama (jika pemohon merupakan penjaga kepada penama yang
belum cukup umur);

3. Laporan perubatan daripada Pengamal Perubatan Berdaftar (yang menyatakan tahap kesihatan penama, bagi pemohon yang menjadi penjaga kepada penama kurang upaya).

Jika simpanan ahli tiada penama, dokumen sokongan yang perlu disertakan pemohon adalah lebih panjang, dan ini termasuklah:

1. Sijil Kelahiran Ahli (jika pemohon ibu atau bapa kepada ahli yang belum berkahwin);

2 Sijil Kelahiran Ahli, Sijil Kelahiran Pemohon dan Sijil Kematian Ibu Bapa Ahli (jika pemohon adalah adik- beradik ahli dan belum berkahwin);

3. Sijil Nikah Ahli;

4 Sijil Kelahiran Anak Ahli;

5 Surat Cerai (jika ahli telah bercerai);

6 Surat kuasa atau perintah daripada Mahkamah Tinggi, Amanah Raya Berhad, Pejabat Tanah atau
Mahkamah Syariah.

Bagi anda yang belum tahu, KWSP juga menerima Sijil Faraid yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah dan boleh terus mengeluarkan simpanan si mati kepada waris yang berkenaan mengikut bahagian masing-masing.

Walau bagaimanapun, keadaan ini hanya terpakai sekiranya simpanan KWSP itu merupakan satu-satunya harta pusaka si mati yang ada. Dengan lain perkataan, ahli yang meninggal dunia itu hanya meninggalkan simpanan KWSP sahaja dan tiada harta pusaka lain.

Untuk maklumat lanjut, anda boleh kunjungi pejabat KWSP berhampiran, hubungi Pusat Pengurusan Panggilan (03-8732 6000), hantar e-mel (enquiry@epf.gov.my), SMS (Taip KWSP ke 36373), atau layari laman web KWSP di www.kwsp.gov.my.

Panduan Penting:

--> Penama, wasi, pentadbir, terdekat kepada ahli boleh memohon untuk mengeluarkan simpanan KWSP si mati.

--> Wang simpanan si mati boleh digunakan sebagai perbelanjaan untuk menguruskan harta pusaka lain si mati bagi meringankan beban waris.

--> Hubungi pejabat KWSP yang berhampiran untuk mengetahui maklumat terperinci.
Back To Top